Khamis tadi sempena cuti tahun baru, aku ambil peluang pulang ke kampung aku di Selama Perak. Kali ini aku ambil jalan Taiping ~ Selama tidak seperti biasa Bagan Serai ~ Selama. Jaraknya 50km dari Kemunting melalui jalan baru yang dibina 2 tahun lepas menggantikan jalan lama yang terkenal dengan bengkang bengkok. Hasilnya sesiapa yang tak pernah melalui jalan hutan simpan kekal ini akan mengalami trauma selepas muntah-muntah dek liku jalan yang agak kronik. Bagi yang suka layan selekoh, di sinilah cabarannya, jalan "tarmac rally".
Ketika melalui jalan baru ini aku mengimbau semula 2 tahun lalu ketika aku berulang alik dari rumah ke tempat kerja. Bangun seawal 5.30pg, sarapan, mandi, pakai uniform kerja, solat subuh, bergegaslah aku keluar rumah, kurang lebih 45minit dalam pemanduan yang cukup mencabar, bukan pasal liku-liku jalan, tapi pasal mata yang mengantuk. Pernah juga aku terlena di tepi jalan, dalam dingin pagi sebab dah memang tak boleh memandu lagi ketika itu. Jalan paling baik, berhenti tepi jalan dan tidur hehehe. Itulah asam garam hidup aku selama 5 tahun.
Inilah saki baki jalan lama dulu. Penuh nostalgia, 6km yang begitu mencabar bagi yang suka layan. Aku salah seorang yang hari-hari jarang amat tekan brake di selekoh...hasilnya setiap 6 bulan aku terpaksa tukar kasut singa aku yang "botak licing" (slang Bt Kurau), jika tidak ~ memang ke hutan simpanlah singa aku lari hahahaha.
Macam-macam cerita yang aku dengar dari orang yang berulang alik di jalan hutan simpan kekal Pondok Tanjung ni. Dari cerita hantu sampailah kecerita langgar itu ini yang melintas. Aku tak pernah jumpa hantu atau jembalang sepanjang jalan ini, tapi setiap kali melalui jalan ini aku teringat cerita-cerita sensasi omongan orang lain yang begitu begini. Meremang jugak bulu tengkok aku, tapi aku ingat pesan kawan aku - "jangan pandang cermin tengok belakang" kaskaskas.
Pun begitu, aku pernah di langgar "sang sondol" berdepan. Remuk singa aku, berkerutlah jugak muka aku kena keluar duit repair keter. Sang sondol dapat sakit sebab langgar singa, aku gembira dapat bantu kawan aku yang repair keter, mekanik aku senyum sebab dia dapat business haritu. Kitaran ekonomipun berjalan.
Di selekoh akhir ini, aku pernah terbabas ke sebelah kanan jalan. Mujurlah ketika itu tidak ada kenderaan lain dari arah bertentangan. Nyawa aku masih panjang...syukur!
Dalam menyusuri jalan Taiping ~ Selama ini, mesti aku terpandang batu tanda km10 ini. Arwah ayah aku xcdent di sini dan terus dia dinaikkan keatas berjumpa tuhan pencipta agung. Tarikh yang tak pernah luput dalam ingatan aku 13/07/1998, tarikh tragis dan aku menangis ketika mengucup dahi arwah ayah. Kesal, trauma, dan seribu satu macam persoalan yang sukar nak dijawap ketika itu. Paling aku kesal ketika mana aku kucup dahi arwah ayah, timbul soalan dalam benak aku ~ kenapa aku tak pernah cium ayah sewaktu dia masih hidup?? Sedang waktu dia bergelar mayyit baru aku kucup dia...?
Aku masih punya mak...setiap hujung minggu teringat nak balik ziarah dia, cium tangan dia, kucup pipi dia...tapi tuntutan kerja membuatkan ianya terbatas....Aku takut aku tak sempat lagi kucup ibu.
Ya Allah, panjangkanlah umur ibuku, sihatkanlah tubuhnya, lapangkanlah dadanya, tenangkanlah fikirannya....
..Al fatihah untuk arwah ayahku, sejahtera untuk ibuku....Amin.
3 comments:
Assalamualaikum sdr.
Betul jalan ini banyak meninggalkan kenangan kepada penduduk atau berasal dari selama perak, di jalan ini lah saya berpuluh kali muntah. itu waktu kecil kecil dulu la.jalan baru memang lurus,tapi dari berita yg saya dengar majlis pembandaran taiping menangkap berok berok berhampiran zoo taiping dan membuangnya di jalan pondok tanjung,
Akibatnya berok berok itu yg jinak apabila nampak kereta mereka akan menerpa untuk makanan,dan pahamlah apa yg terjadi. saya kalau baliks elama mesti ada 2-3 tandan pisang emas dalam kereta. untuk anak-anak bulu itu. salam perkenalan buat sdr.
http://bbcatlover.blogspot.com/2009/04/selama-perak-tempat-asalku.html
http://bbcatlover.blogspot.com/2009/04/
selama-perak-tempat-asalku.html
Amat menyeramkan di waktu mlm...
Post a Comment